Friday, April 1, 2011

Moga kita JUMPA jalan KELUARNYA.


Assalamualaikum WBT,
TRANSFORMASI PERUBAHAN, MENULIS SEKADAR MELUAH.


Saya menulis bukan untuk impress tetapi just to express. Saya perlu tegaskan kenyataan ini kerana ada yang kurang senang dengan apa yang ana zahirkan di laman sesawang ini. Saya tiada kuasa untuk memaksa sesiapa sahaja untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan apa yang saya tulis. Saya menyedari hidup ini dan diri ini bukanlah sempurna malahan ada kelemahan dan cacat celanya yang diperbaiki dari semasa ke semasa mantelahan ada yang ana sendiri terlepas pandang juga.

Saya bersyukur jika ada yang tidak bersetuju sekurang- kurangnya saya berjaya membawa pembaca berfikir dan akhirnya mereka menzahirkan buah fikiran mereka sendiri. Tetapi janganlah membangkang atau membuat satu kenyataan tidak bersetuju secara melulu. Kita punya akal kurniaan Allah maka gunakanlah minda ini dengan sebaiknya. Percanggahan pendapat antara kita sebenarnya membawa kekuatan dan memperluaskan pemikiran. Hikmah inilah yang membawa saya menggemari perdebatan dan medan diskusi.

Mungkin pendekatan saya ini terlalu ke hadapan atau tegas sifatnya, datang pula satu percanggahan pendapat mungkin sifatnya lebih lembut dan sederhana yang lebih ideal dan sesuai dengan keadaannya. Maka itulah yang saya harapkan. Menulis kerana menzahirkan sesuatu bukan untuk dipuji tetapi mengharapkan perkongsian ramai yang boleh menjernihkan pemikiran kita di samping menggalakkan diskusi ilmiah yang terkehadapan. Alangkah indahnya diskusi ini membawa manfaat kepada saya dan sekalian ikhwah justeru membawa pulangan yang beharga buat kita semua.
Percanggahan pendapat malangnya lebih kerap membawa kepada suasana yang mungkar. Akhirnya tidak bertegur sapa kerana kurangnya sabar. Yang akrap jadinya taksub dan ego dengan idea dan ketetapan diri menolak pandangan lain. Dalam pertubuhan juga berlaku sehingga membawa kepada perpecahan. Malahan hal ini merosak dan membawa musibah sehingga ke institusi agama kita. Padahal jika kita menghayati konsep syura, percanggahan pendapat ini akhirnya membawa kepada penglahiran satu idea yang jauh lebih kuat kerana kelemahan diatasi dan kekuatan disepadukan. Apakah kita masih ego membawa satu pendirian secara sendirian dan membelakangkan jemaah?

Azam saya kini, moga diskusi ilmu dan percanggahan pendapat yang membawa baraqah dan menyatukan kekuatan akan muncul dalam setiap yang saya lalui. Teguran, kritikan dan nasihat sahaja bagi saya yang mampu membawa perubahan dalam diri ini menjadi seorang insan yang baik. Pujian dan kata- kata manis mungkin tidak lagi sesuai untuk saya. Ianya hanya bicara yang melemahkan malahan tidak mungkin membawa perubahan tetapi lebih membawa kemusnahan barangkali kerana mengukuhkan ego dan sombong dalam diri. Inilah perjuangan dan jihad dalam diri.Jihad yang harus ana pegang menjelang sesi ini untuk mengubah diri ini. Menjauhi dari sifat- sifat mazmumah dan kekosongan itu harus ada segera gantinya dengan berlapang dada dan sikap toleransi. Moga ianya merapatkan ukhuwwah sesama ikhwah. 
Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua yang terasa,moga ini titik mulanya,saya sudah campakkan 'ego' saya sejauh mungkin,bagaimana pula dengan kalian??????

Mohamad Amirul AMin Maula LokmanHakim
Hayyu Asyir | Kaherah | Mesir
Jumaat | 1/4/2011